Sunday, June 28, 2020

Hukum Mempelajari Ilmu Mantik
Nur Aisyah Nadiah Binti Anuar (A167784)

1.0 PENDAHULUAN

Ilmu Mantik adalah antara ilmu terawal yang sudah muncul sejak abad ke-6 sebelum Masihi. Ilmu Mantik dicetuskan oleh ahli falsafah Yunani klasik dan disusun sebagai satu disiplin ilmu oleh Aristotle, ahli falsafah Yunani. Mantik berasal dari perkataan Yunani iaitu Logos yang bermaksud kata atau fikiran yang benar. Dalam bahasa Arab pula, ia berasal dari perkataan nataqa yang bermaksud berkata atau bercakap. Ilmu Mantik semakin berkembang dari dari semasa ke semasa terutamanya pada zaman pemerintahan khilafah ‘Abbasiyyah yang banyak menjalankan usaha-usaha penterjemahan ilmu Mantik ke dalam bahasa Arab. Menurut Aristotle, ilmu Mantik adalah asas kepada ilmu-ilmu lain. Menurut Ibn Khaldun pula, ilmu Mantik adalah suatu peraturan dan undang-undang yang boleh menjelaskan antara pemikiran yang benar dengan pemikiran yang salah. Umat islam menggunakan kaedah ilmu Mantik untuk memberi hujah yang bernas dan menolak hujah golongan ateis dan golongan yang berusaha untuk menjatuhkan Islam. Namun begitu, ulama’ sebenarnya berbeza pendapat dalam memberikan hukum mempelajari ilmu Mantik. Ada yang menerima ilmu Mantik sebagai salah satu cabang ilmu yang dibenarkan di dalam Islam dan ada yang menolak dan menegah untuk mempelajari ilmu Mantik atas sebab-sebab tertentu. Imam al-Akhdari menulis :

وَالخُلْفُ فِي جَوَازِ الاِشْتِغَالِ ** بِهِ عَلَى ثَلاَثَةٍ أَقْوَالِ

فَابْنُ الصَّلاَحِ وَالنَّوَاوِي حَرَّمَا ** وَقَالَ قَوْمٌ يَنْبَغِي أَنْ يُعْلَمَا

وَالقَوْلَةُ المَشْهُورَةُ الصَّحِيحَةْ ** جَوَازُهُ لِكَامِلِ القَرِيحَةْ

مُمَارِسِ السُّنَّةِ وَالكِتَابِ ** لِيَهْتَدِي بِهِ إِلَى الصَّوَابِ

Maksudnya: Adapun terdapat khilaf pada hukum menyibukkan diri dengan ilmu Mantiq (yang bercampur dengan ilmu falsafah) dan ia terbahagi kepada 3 pandangan;

Imam Ibn Solah dan Imam al-Nawawi mengharamkannya, dan sebahagian ulama lain mewajibkannya;

Adapun pandangan yang masyhur dan paling sahih ialah keharusan mempelajarinya bagi yang mempunyai kesempurnaan akal;

Dan juga harus bagi yang mengetahui al-Qur’an dan al-Sunnah bagi membolehkannya sampai kepada kebenaran;

2.0 ULAMA’ YANG MENOLAK ILMU MANTIK

Terdapat pelbagai sebab para ulama’ menolak dan mengharamkan mempelajari Ilmu Mantik. Antara sebab yang diutarakan adalah Ilmu Mantik adalah satu ilmu yang bidaah dan tidak selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, mereka berpendapat bahawa Ilmu Mantik telah bercampur aduk dengan ilmu falsafah yang menyeleweng dari ajaran Islam.
Antara yang menolak mempelajari ilmu Mantik menurut matan yang ditulis oleh Imam al-Akhdari adalah ibn al-Salah. Beliau berpendapat haram umat Islam mempelajari ilmu Mantik kerana menurutnya, ilmu Mantik mengandungi unsur-unsur bidaah dan khurafat. Beliau berpendapat haram adalah kerana pada zamannya, masyarakat pada waktu itu tidak teguh pegangan akidah dan ada yang mempelajarinya untuk memutar-belit ayat Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW sesuai menurut mereka dan bukan digunakan untuk mencari kebenaran.
Imam Nawawi juga berpendapat haram dan menghukumkan kafir bagi sesiapa yang mempelajari ilmu Mantik. Hal ini kerana bagi Imam Nawawi, ilmu Mantik boleh merosakkan akal fikiran yang boleh merosakkan keyakinan. Ilmu Mantik juga baginya tidak selari dengan apa yang digariskan di dalam Al-Quran dan Hadith. Lebih-lebih lagi apabila beliau melihat orang yang hidup di zamannya, mereka yang mengamalkan ilmu Mantik adalah golongan yang tidak mengambil berat tentang Al-Quran dan Al-Hadith. Ini menyebabkan mereka menafsirkan sesuatu hanya mengikut akal fikiran mereka semata-mata.
Selain itu, Imam as-Suyuti adalah salah seorang yang menolak ilmu Mantik dan paling lantang dalam membanteras ilmu Mantik. Seperti yang lain, beliau juga menolak dan menghukumkan haram untuk mempelajari ilmu Mantik. Antara alasannya adalah, ilmu Mantik boleh membuatkan seseorang itu jauh dari Al-Quran dan Hadith kerana mengabaikan pembelajaran bahasa Arab, Al-Quran dan Hadith. Hal ini menurutnya boleh merosakkan akidah dan menyebarkan perkara bidaah.
Imam as-Syafie pula bersikap sederhana dalam menilai hukum mempelajari Ilmu Mantik. Beliau tidak mengharamkan mempelajari ilmu Mantik tapi disifatkan sebagai menolak mempelajari Ilmu Mantik. Hal ini dinilai berdasarkan kata-katanya yang bangsa Arab akan berselisih apabila menerima fahaman Yunani dan Aristotle. Berdasarkan kata-kata ini, didapati beliau menolak untuk mempelajari ilmu Mantik.
Ulama’ berikutnya yang terkenal menolak ilmu Mantik adalah ibn Taimiyyah. Beliau mengajak semua umat Islam untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Menurut beliau, hanya ilmu yang diwarisi dari Rasulullah SAW sahaja yang boleh dianggap sebagai sebuah ilmu. Disiplin ilmu lain tidak dianggap ilmu oleh beliau namun sekiranya dianggap sebagai ilmu ia tidaklah memberi manfaat kepada seseorang itu. Sekaligus ia menunjukkan bahawa ilmu Mantik ditolak kerana ilmu yang asing tidak sepatutnya dipelajari umat Islam.
Secara dasarnya, semua penentangan terhadap ilmu Mantik ini adalah kerana dianggap bidaah dan dianggap melanggar kaedah-kaedah Islam dan juga turut melihat situasi masyarakat pada zaman itu. Ulama’-ulama’ ini menolak kedatangan pemikiran asing yang berasal dari Yunani dan Greek atas dasar semua ilmu mestilah berasaskan Al-Quran dan Hadith. Kesemua ulama’ yang menolak ini terkenal dengan gelaran ulama’ salafiyyah sebelum kedatangan imam Al-Ghazali yang mengharuskan mempelajari ilmu Mantik.

3.0 ULAMA’ YANG MENERIMA ILMU MANTIK

Antara ulama’ yang menerima ilmu Mantik adalah al-Farabi, ibn Rusyd, ibn Sina, al-Ghazali dan lain-lain yang mana majoriti ulama’ menghukumkan harus dalam mempelajari ilmu Mantik. Mereka ini berpendapat ilmu Mantik adalah ilmu yang penting dalam mengawasi pemikiran manusia daripada salah dalam berfikir. Al-Farabi walaupun tidak menyatakan hukum mempelajari Mantik secara tegas, namun dari tindakannya yang telah meletakkan ilmu Mantik di kedudukan yang tinggi menunjukkan beliau menerima ilmu Mantik kerana berpendapat ilmu Mantik boleh dimanfaatkan untuk semua jenis ilmu pengetahuan.
Bagi ibn Rusyd, beliau mewajibkan untuk mempelajari ilmu Mantik dengan syarat tujuan belajar adalah ke arah kebaikan. Pendapat ini adalah berdasarkan dalil-dalil Al-Quran yang banyak menyeru manusia supaya menggunakan akal dam meneliti kejadian tuhan. Beliau bersifat terbuka terhadap semua cabang ilmu Greek dan amat menyanjungi Aristotle. Beliau meletakkan kedudukan ilmu Mantik setaraf dengan ilmu-ilmu lainnya. Menurut ibn Rusyd, ilmu Mantik adalah wasilah untuk mencapai ilmu pengetahuan yang sahih dalam disiplin ilmu lain.
Bagi Imam al-Ghazali pula, mempelajari ilmu Mantik adalah harus terhadap umat Islam. Imam Ghazali menegaskan ilmu Mantik adalah ilmu untuk semua manusia. Hanya istilah Mantik sahaja khusus untuk ahli falsafah. Beliau tidak menolak ilmu Mantik hanya kerana pengasasnya adalah bukan Islam. Pendapat beliau adalah berdasarkan zamannya yang mana ilmu Mantik berleluasa dan meluas pengajarannya. Mereka juga mempelajarinya untuk menyanggah hujah-hujah puak Muktazilah yang menggunakan ilmu Mantik untuk mengangkat hujah batil mereka. Oleh itu, pada waktu itu umat Islam digalakkan untuk mempelajarinya untuk mematahkan hujah-hujah puak Muktazilah ini.
Ibn Sina juga turut mengharuskan mempelajari ilmu Mantik. Bagi ibn Sina, ilmu Mantik adalah asas kepada ilmu lain, sama seperti pandangan al-Farabi. Ilmu Mantik adalah ilmu untuk mengawal fikiran agar tidak terpesong dalam berfikir. Bukti beliau menerima ilmu Mantik melalui karya beliau yang bertajuk Syifa’ dan Al-Najat.
Secara umumnya, ulama’-ulama’ ini menerima atas dasar untuk menjaga pemikiran manusia supaya berfikir dengan benar dan tidak terpesong pemikirannya. Mereka juga tidak menganggap ilmu Mantik bercanggah dengan Islam malah boleh membantu umat Islam dalam melawan hujah puak-puak yang berusaha untuk menjatuhkan Islam dengan hujah-hujah yang bernas hasil mempelajari dan mempraktikkan ilmu Mantik. Jadi, haruslah ke atas umat Islam untuk mempelajari ilmu Mantik demi kemaslahatan ummah.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, mempelajari ilmu Mantik adalah dibenarkan dan menjadi fardu kifayah ke atas umat Islam. Keharusan ini adalah diktiraf selagi mana ilmu Mantik itu bebas dari fahaman dan ajaran yang bertentangan dan bercanggah dengan Islam. Umat Islam haruslah mempelajari dan memanfaatkan ilmu Mantik untuk tujuan kebaikan dan bukan dengan niat yang jahat. Dengan mempelajari ilmu Mantik, ia membantu seseorang dalam memahami Al-Quran dan Hadith dengan lebih mendalam. Walaupun terdapat perbezaan pendapat oleh para ulama’ dalam hukum untuk mempelajari ilmu Mantik ini, namun ijtihad ulama’ mengambil kira situasi semasa yang mana pada zaman itu, ilmu Mantik didapati bermanfaat dalam menolak hujah-hujah puak Muktazilah dan para pembenci Islam. Ilmu Mantik membantu dalam mencipta hujah yang logik dan benar serta mengelakkan berlaku pemesongan dalam berfikir.

5.0 RUJUKAN
Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin. 2009. Pengantar Ilmu Mantik. Selangor : Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 2018. Irsyad Al-Fatwa #252 : Hukum Mempelajari Ilmu Mantiq. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2664-irsyad-al-fatwa-252-hukum-mempelajar-ilmu-mantiq [13 Oktober 2018]
Studentrepo Universiti Malaya. Bab 4 : Sikap Ulama Terhadap Ilmu Mantik. http://studentsrepo.um.edu.my/898/7/BAB_4.pdf
Syed Ali Tawfik AL-Attas. Institusi Kefahaman Islam Malaysia : Sejarah Ringkas Ilmu Mantiq. http://www.ikim.gov.my/index.php/2007/08/14/sejarah-ringkas-ilmu-mantiq/ [14 Ogos 2007]

Hukum Mempelajari Ilmu Mantik Nur Aisyah Nadiah Binti Anuar (A167784) 1.0 PENDAHULUAN Ilmu Mantik adalah antara ilmu terawal yan...

St. Augustine